CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 22, 2010

Pesanan Untuk Orang Cantik

Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasulullah SAW kerana baginda telah ditentukan maksum. Selebihnya tidak terkecuali daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit dan bermacam-macam perkara lagi. Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat. Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.

Memang Allah menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Di situlah berkuasanya Allah. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendak-Nya. Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoalkan itu ini, mempertikai itu ini. Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda.

Nah, anggap ia satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik. Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu. Kadangkadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semula jadinya buruk.

Orang cantik fobia menjadi buruk. Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik menghadapi hari tua mereka? Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan? Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh ALLAH supaya dia boleh terbang dan menerjah api.

Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar untuk diberikan balasan setimpal di Akhirat. Tontonlah filem atau drama-drama di TV.

Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika anda buruk setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur. Penghuni neraka kebanyakannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah s.a.w wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan ALLAH kepadanya. Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja Tuhan.

Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia. Cantik pada pandangan Allah adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan larangan Allah. Barangkali juga yang buruk tapi dia faham Allah tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya.

Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manusia selalunya sasar. Hargai diri anda sebab kewujudan anda membuktikan kekuasaan Allah!

Menjejaki Lokasi Bersejarah Rasulullah SAW di Madinah

Walaupun tempat-tempat bersejarah sudah acap kali dikunjungi oleh jemaah umrah mahupun haji, tetapi perasaan bosan tidak pernah bertandang di hati mereka.

Mengunjungi Masjid Nabawi seperti bertandang ke rumah Rasulullah SAW. Setiap tetamu yang datang perlu menjaga adab, tatatertib dan kebersihan sepanjang berada di sana. Bilangan pekerja yang ramai sentiasa bergerak untuk memastikan keadaan luar dan dalam masjid dijaga dengan baik. Ini kerana Masjid Nabawi dibuka 24 jam.

Seusainya solat Isyak, jemaah berpusu-pusu mendapatkan air zamzam yang disediakan sepanjang laluan dalam masjid. Pilih ikut suka, mahu yang sejuk atau biasa.

Di luar Masjid Nabawi, suasana begitu sibuk dengan aktiviti berjual beli. Bagaikan pasar lambak. Ada yang menggunakan kereta sorong, hamparan di lantai mahupun berdiri sambil melaunglaungkan jualannya kepada jemaah yang baru pulang dari masjid.

Waktu malam di sana lebih pendek berbanding di negara kita. Pada hari pertama dan kedua, agak kekok untuk menyesuaikan waktu tidur di sana. Dalam tempoh dua hingga tiga jam, rasanya seperti nak tidur ke tak nak? Namun tidur itu bukanlah menjadi keutamaan. Sebaliknya terasa rugi jika waktu yang ada dibiarkan berlalu begitu sahaja di bumi anbia ini.

Keesokan harinya, kami pergi menziarah lokasi bersejarah dalam Raudhah, Maqam Nabi dan Mimbar Minrah Nabi di dalam Masjid Nabawi. Di ruangan menunggu untuk ke Raudhah, bau haruman semerbak di segenap ruang dirasakan begitu mengasyikkan. Mungkinkah ini haruman syurga? Wallahualam.

Di situ, penulis berasa begitu dekat dengan baginda dan sahabatnya, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Hati semakin sebak dan hiba apabila menghampiri makam baginda dan dua sahabat itu apabila mengenangkan perjuangan mereka dalam menegakkan syiar Islam. Tidak lupa menyampaikan kiriman salam dan doa rakan-rakan sepejabat yang dititipkan kepada penulis sebelum datang ke sana.

Walaupun agak berpusu-pusu di ruangan Muslimat ketika di Raudhah dan Makam Nabi, namun jika anda yakin Allah berikan tempat bersolat dan berdoa, insya-Allah, segalagalanya menjadi mudah. Ketika berada di Madinah selama tiga hari, kami juga dibawa ke Masjid Quba, Masjid Qiblataini, Jabal Uhud, Maqam Shuhada, lading unta dan pasar kurma. Sepanjang lawatan tersebut, kami diberi taklimat oleh mutawif, Ustaz Hassan Basri Sulaiman mengenai sejarah nabi yang berkaitan dengan tempat kami lawati.

Apakah Ciri-Ciri Wanita Syurga?

1. Bertakwa.

2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.