CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, September 22, 2010

Menjejaki Lokasi Bersejarah Rasulullah SAW di Madinah

Walaupun tempat-tempat bersejarah sudah acap kali dikunjungi oleh jemaah umrah mahupun haji, tetapi perasaan bosan tidak pernah bertandang di hati mereka.

Mengunjungi Masjid Nabawi seperti bertandang ke rumah Rasulullah SAW. Setiap tetamu yang datang perlu menjaga adab, tatatertib dan kebersihan sepanjang berada di sana. Bilangan pekerja yang ramai sentiasa bergerak untuk memastikan keadaan luar dan dalam masjid dijaga dengan baik. Ini kerana Masjid Nabawi dibuka 24 jam.

Seusainya solat Isyak, jemaah berpusu-pusu mendapatkan air zamzam yang disediakan sepanjang laluan dalam masjid. Pilih ikut suka, mahu yang sejuk atau biasa.

Di luar Masjid Nabawi, suasana begitu sibuk dengan aktiviti berjual beli. Bagaikan pasar lambak. Ada yang menggunakan kereta sorong, hamparan di lantai mahupun berdiri sambil melaunglaungkan jualannya kepada jemaah yang baru pulang dari masjid.

Waktu malam di sana lebih pendek berbanding di negara kita. Pada hari pertama dan kedua, agak kekok untuk menyesuaikan waktu tidur di sana. Dalam tempoh dua hingga tiga jam, rasanya seperti nak tidur ke tak nak? Namun tidur itu bukanlah menjadi keutamaan. Sebaliknya terasa rugi jika waktu yang ada dibiarkan berlalu begitu sahaja di bumi anbia ini.

Keesokan harinya, kami pergi menziarah lokasi bersejarah dalam Raudhah, Maqam Nabi dan Mimbar Minrah Nabi di dalam Masjid Nabawi. Di ruangan menunggu untuk ke Raudhah, bau haruman semerbak di segenap ruang dirasakan begitu mengasyikkan. Mungkinkah ini haruman syurga? Wallahualam.

Di situ, penulis berasa begitu dekat dengan baginda dan sahabatnya, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Hati semakin sebak dan hiba apabila menghampiri makam baginda dan dua sahabat itu apabila mengenangkan perjuangan mereka dalam menegakkan syiar Islam. Tidak lupa menyampaikan kiriman salam dan doa rakan-rakan sepejabat yang dititipkan kepada penulis sebelum datang ke sana.

Walaupun agak berpusu-pusu di ruangan Muslimat ketika di Raudhah dan Makam Nabi, namun jika anda yakin Allah berikan tempat bersolat dan berdoa, insya-Allah, segalagalanya menjadi mudah. Ketika berada di Madinah selama tiga hari, kami juga dibawa ke Masjid Quba, Masjid Qiblataini, Jabal Uhud, Maqam Shuhada, lading unta dan pasar kurma. Sepanjang lawatan tersebut, kami diberi taklimat oleh mutawif, Ustaz Hassan Basri Sulaiman mengenai sejarah nabi yang berkaitan dengan tempat kami lawati.

0 ulasan: